Sebuah perwakilan daripada Pusat Innovasi dan Penyelidikan Pertanian Kebangsaan Hungary yang diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Csaba Gyuricza, telah melawat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2018 (MAHA 2018) pada 22 -26hb November, 2018. Pusat Innovasi dan Penyelidikan Pertanian Kebangsaan Hungary telah ditubuhkan pada tahun 2014  dan penyelidikan pusat ini merangkumi semua bidang pertanian. Tujuan utama lawatan tersebut adalah untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan institusi- institusi di rantau ASEAN dan juga untuk mencari peluang-peluang untuk bekerjasama selain projek- projek usahasama dalam pelbagai bidang, dalam sektor pertanian.

Selain daripada melawat tapak Pameran MAHA, pihak perwakilan juga telah membuat kunjungan hormat bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Yb. Dato’ Salahuddin bin Ayub dan telah menyertai mesyuarat dengan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Roff Bin Mohd Noor untuk membincangkan peluang- peluang kerjasama masa hadapan diantara kedua-dua buah institusi ini. Di samping itu, perwakilan tersebut juga membuat lawatan ke beberapa buah fakulti pertanian universiti- universiti tempatan ketika berada di Kuala Lumpur.