Kerajaan Malaysia telah menandatangani MoU dengan Kerajaan Hungary mengenai kerjasama pendidikan tinggi. MoU tersebut telah ditandatangani oleh YB. Dato’ Seri Idris bin Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi yang mewakili Kerajaan Malaysia manakala pihak Kerajaan Hungary diwakili oleh TYT H.E Attila Káli, Duta Besar Hungary ke Malaysia.
Pemeteraian MoU tersebut adalah inisiatif dalam mengukuhkan hubungan bilateral di antara kedua-dua buah negara. Hubungan dan kerjasama yang lebih erat ini akan terus membuka peluang yang lebih banyak kepada Malaysia untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai bentuk kerjasama yang lain dengan Kerajaan Hungary.
Usaha ini adalah selari dengan hasrat dan usaha Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan tinggi di rantau ini.
Kedua-dua pihak mengharapkan supaya lebih banyak pertukaran pengalaman dan kepakaran dalam bidang saintifik, teknikal dan pentadbiran dapat dilaksanakan di antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.
Kerajaan Hungary juga telah menawarkan 40 biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi melanjutkan pengajian di Hungary. Bidang pengajian yang ditawarkan adalah pertanian, kejuruteraan air, seni bina, pengajian warisan budaya, sains asli, sains alam sekitar dan sains kesihatan. Penawaran Biasiswa ini akan membuka ruang yang luas bagi pelajar Malaysia untuk melanjutkan pendidikan tinggi di Hungary.